Artikel ini telah dibaca 186Kali!

Banjir yang melanda daerah Lipis, Pahang bukan sahaja menjejaskan penduduk setempat, malah turut memberi kesan kepada calon peperiksaan SPM apabila seorang pelajar terpaksa berenang sambil menolak tong hitam berisi beg sekolah untuk ke asrama.
Video insiden itu menjadi tular di media sosial selepas remaja berkenaan dirakam bersama bapanya meredah arus deras demi menghadiri peperiksaan penting walaupun laluan utama sudah terputus akibat banjir.
Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) kemudiannya mengesahkan pelajar terbabit kini berada dalam keadaan selamat selepas ditempatkan di asrama untuk menduduki peperiksaan bersama calon lain.
[VIDEO] Detik Cemas Pelajar SPM Berenang Redah Banjir Jadi Tular – “Air Naik Tiba-Tiba”
Sebuah video tular memaparkan detik mencemaskan apabila seorang remaja lelaki terpaksa berenang sambil menolak tong hitam berisi beg sekolah hanya untuk sampai ke asrama sebelum menduduki peperiksaan SPM.
Video berdurasi kurang seminit itu meraih perhatian ramai selepas kelihatan paras banjir begitu dalam sehingga hanya nampak dua kepala terapung — dipercayai remaja berkenaan dan bapanya — ketika mereka meredah arus deras menuju ke sekolah.
Menerusi rakaman yang dimuat naik pengguna TikTok @yusoffpelamindanwiring2, difahamkan laluan utama ke rumah mereka terputus sepenuhnya akibat banjir yang naik secara mendadak.
“Air yang dalam, terpaksa juga redah. Jalan utama terputus. Air banjir naik tiba-tiba. Semoga along berjaya dalam exam SPM tahun ini… amin 🤲🤲 #nkbalikasrama #redahbanjir #spm2025”
Menurut bapa pelajar tersebut, situasi itu adalah satu ujian besar buat anak sulungnya yang bakal menduduki peperiksaan penting. “Air yang dalam terpaksa juga kami redah. Jalan utama terputus, air naik tiba-tiba. Semoga along berjaya dalam peperiksaan SPM tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, selepas video itu tular, muncul dakwaan kononnya pihak sekolah tidak menjaga keselamatan pelajar terutama calon SPM ketika musim banjir. Menjawab tuduhan itu, bapa pelajar berkenaan tampil menjelaskan bahawa sekolah tidak bersalah, sebaliknya keadaan banjir berlaku terlalu cepat dan di luar jangkaan.
“Bukan salah sekolah, saya nak hantar ke asrama. Semalam air baru naik,” jelasnya.
Bagi meredakan kekeliruan, pelajar tersebut turut tampil memberi penjelasan di ruangan komen akaun TikTok bapanya:
“Terima kasih atas semua doa. Semoga doa ini menjadikan saya pelajar yang cemerlang. Untuk makluman juga pihak sekolah sudah menyediakan bantuan, tetapi video ini dirakam ketika saya menuju ke asrama yang disediakan oleh pihak sekolah. Kami sekeluarga memilih untuk menghantar saya sendiri kerana banyak jalan yang sudah terputus. Terima kasih kepada semua pihak termasuk sekolah yang telah membantu kami.”
Pelajar itu juga menzahirkan penghargaan kepada semua yang mendoakan dan membantu mereka, sambil berharap agar kejadian tersebut menjadi semangat untuknya menghadapi SPM dengan tabah.
Pelajar Berenang ke Pusat SPM Disahkan Selamat di Asrama
KUANTAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan bahawa pelajar tingkatan lima di Lipis yang tular selepas terpaksa berenang meredah banjir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kini berada dalam keadaan selamat.
Menurut kenyataan JPN Pahang hari ini, hasil siasatan mendapati laluan keluar dari rumah pelajar tersebut dinaiki air dengan sangat cepat, menyebabkan dia terpaksa meredah air banjir sebelum sempat dibawa ke asrama sekolah pada 29 November lalu.
“Murid itu sekarang ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Lanar dan berada dalam keadaan selamat serta bersedia menduduki peperiksaan bersama-sama calon lain,” kata kenyataan itu.
JPN turut memaklumkan bahawa pihak jabatan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta sekolah menengah berasrama di daerah Lipis telah menyediakan pelan kontigensi awal dengan mengenal pasti jumlah pelajar yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
Menurut kenyataan itu lagi, kemudahan asrama turut disediakan kepada semua pelajar yang tinggal di kawasan terjejas walaupun mereka bukan penghuni tetap asrama sekolah.
“Langkah ini diambil bagi memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan SPM tanpa sebarang kesulitan. Pihak PPD dan sekolah sentiasa memantau serta memastikan keperluan dan keselamatan calon menjadi keutamaan sepanjang musim tengkujuh ini,” jelas kenyataan tersebut.
JPN Pahang juga merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan dan semua agensi yang terlibat dalam memastikan perjalanan peperiksaan SPM di negeri itu berjalan lancar dan selamat demi kepentingan calon.
📢 Dapatkan Berita Terkini!
Jangan ketinggalan maklumat penting dan kemas kini menarik! Sertai saluran rasmi kami untuk berita, info semasa, dan kempen terkini terus ke telefon anda.
Maklumat dalam siaran ini adalah untuk tujuan umum dan tidak menggantikan nasihat profesional.