This post has already been read 2385 times!
Bentong Kali Penjenayah yang amat dikehendaki sekitar awal tahun 1990 an. P. Kalimuthu atau digelar Bentong Kali terkenal dengan sikap barannya yang suka membunuh orang ramai secara sesuka hati.
Puluhan orang awam tidak bersalah menjadi mangsa tanpa sebarang sebab disamping turut terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan rompakan.
Keganasannya amat melampau hingga beliau masih membunuh orang awam walau ketika polis telah melancarkan operasi seluruh negara untuk menangkapnya yang dikenali sebagai ‘Ops Buncit’.
Rekod pembabitan Bentong Kali dalam 16 kes pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu.
Penjenayah mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu. P. Kalimuthu menyertai Kumpulan kongsi gelap Cina 04.
Pernah dipenjara ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu. Namun ianya tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat tahun selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia jenayah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap India 08.
Bersama kumpulan haram dan rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar undang undang sekitar ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut, Sungei Way dan Ampang.
Ditahan semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat serta pernah di tempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi dibebaskan pada tahun 1987.
Peluang kedua yang diberikan langsung tidak mengubah sikapnya. Kali ini dia menubuhkan kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Kegiatan utama ialah mengedar dadah.
Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990 dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan kesalahannya.
Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan polis mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan keganasan lelaki itu.
Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu sebagai bukan pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang bergerak bersama pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi pembunuhan sesuka hati.
Antara pembunuhan yang dilakukan adalah dengan melepaskan tembakan rambang dalam satu majlis sambutan hari lahir menyebabkan 2 orang maut di tempat kejadian. Juga melepaskan sedas tembakan ke atas seorang penjual roti canai kerana menegur tindakan kurang ajar Bentong Kali yang kencing berhampiran rumahnya. Semua jenayah berlaku di kawasan perumahan Taman Taming Jaya.
Bentong Kali menyewa sebuah rumah selama tiga bulan di Taman Tanming Jaya sebelum melarikan diri. Tindakan P. Kalimuthu menyebabkan penduduk di taman itu hidup dalam ketakutan. Ada antara mereka yang berpindah buat sementara waktu ke kawasan lain kerana khuatir menjadi mangsa seterusnya.
Terbabit juga dalam kejadian pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama. Penemuan bukti kelongsong peluru 9mm dari pistol Sig Sauer menyebabkan polis mengesyaki pembabitan P. Kalimuthu atau Bentong Kali dalam kejadian siri pembunuhan berkenaan.
Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila Bentong Kali dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang bekas konconya di Jalan Klang Lama. Intipan polis kemudian membawa kepada serbuan di markas persembunyian lelaki itu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993.
Telah berlaku tembak menembak dan akhirnya Bentong Kali bersama tiga lagi rakannya berjaya ditembak mati oleh polis.
Maklumat yang terkandung dalam siaran ini adalah untuk tujuan maklumat am sahaja.