Artikel ini telah dibaca 287Kali!
Kuala Lumpur, 7 November 2024 – Sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 4.48 petang itu melibatkan kenderaan yang membawa dua kereta perisai ADNAN dari pasukan berpangkalan di Mentakab, Pahang.
Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, mengesahkan bahawa punca kemalangan masih dalam siasatan. Namun, beliau menyatakan bahawa tiada kecederaan dilaporkan kepada anggota tentera mahupun orang awam.
Kenderaan pengangkut mengalami kerosakan yang serius akibat terbalik. Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kemalangan tersebut berlaku di KM35.2, arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak.
Jurucakap LLM menyatakan bahawa kedua-dua lorong kanan di arah barat dan timur terhalang akibat kemalangan ini, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang ketara.
Setakat jam 8 malam, keadaan lalu lintas menunjukkan kesesakan sejauh tiga kilometer di lorong kanan arah barat dan satu kilometer di lorong kanan arah timur. LLM sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan treler untuk mengurangkan kesesakan.

