Artikel ini telah dibaca 785Kali!
TEMERLOH • 4 November 2024
Polis kini sedang memburu sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pencurian kabel tembaga milik syarikat telekomunikasi di hadapan sebuah rumah di Taman Keramat, Mentakab, pada awal pagi Ahad, 3 November 2024.

Kejadian tersebut dirakam dalam sebuah klip video berdurasi 1 minit 44 saat yang tular di platform TikTok. Dalam video itu, seorang penduduk merakam aksi sekumpulan lelaki yang sedang mencuri kabel dari lurang kabel dan menyangkutnya pada kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata kejadian berlaku sekitar jam 2.45 pagi, apabila seorang penduduk berusia 27 tahun mendengar bunyi bising dan keluar untuk menyemak. Dia mendapati dua kenderaan, iaitu Toyota Wish dan Honda HRV, berada di hadapan rumahnya dan melihat sekumpulan lelaki sedang mencuri kabel.
Penduduk tersebut merakam video dan cuba menegur suspek, namun seorang daripada mereka bertindak membaling botol plastik ke arahnya.
Mazlan memaklumkan bahawa hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu.
Pihak syarikat telekomunikasi telah membuat laporan polis dan mengesahkan bahawa kabel milik mereka telah dipotong di kawasan tersebut. Anggaran panjang kabel yang dicuri adalah antara 5 hingga 10 meter, dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM500. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

