Artikel ini telah dibaca 467Kali!
Seorang wanita bersama bapanya dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam oleh seorang lelaki dalam satu kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Lengkuang, Air Itam, Pulau Pinang, tengah hari tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.15 tengah hari dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berusia 32 tahun selepas cintanya ditolak oleh mangsa wanita berusia 30 tahun. Mangsa dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sebelum diserang oleh suspek.

Menurut sumber, bapa mangsa yang berusia 62 tahun berada di lokasi kejadian dan cuba meleraikan serangan suspek namun turut ditikam dalam usaha menyelamatkan anaknya.
Akibat kecederaan parah yang dialami, kedua-dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
Suspek dilaporkan cuba mencederakan dirinya sendiri dengan mengelar dan menikam tubuhnya beberapa kali sempat dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan.

